Katanya, syarikat itu memperkenalkan dua pakej promosi dalam usaha memenuhi keperluan pengguna biasa dan korporat bermula 20 Ogos hingga 30 September ini.
Beliau berkata, bagi pakej P1 WiMAX 1200 yang berkelajuan sehingga 1.2 Mbps, caj bulanan adalah RM99 bagi kontrak 12 bulan manakala RM89 bagi kontrak 24 bulan.
Bagi pakej P1 WiMAX 2400 yang berkelajuan sehingga 2.4 Mbps, caj bulanan sebanyak RM229 dan RM199 akan dikenakan masing-masing bagi kontrak 12 bulan dan 24 bulan.
“Kami menjangkakan bilangan pelanggan WiMAX PI akan terus meningkat pada masa depan apabila WiMAX dipertingkatkan,” katanya selepas pelancaran P1 WiMAX oleh Packet One Networks di Kuala Lumpur, semalam.
Pelancaran disempurnakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
P1, anak syarikat Green Packet Bhd adalah satu daripada syarikat yang memperoleh lesen WiMAX dan yang pertama melancarkan perkhidmatan itu secara komersial.
Lai menambah, buat masa ini perkhidmatan P1 WiMAX boleh didapati di kawasan KLCC, segi tiga emas, Pekeliling, Setapak, Gombak, Seri Rampai, Sentul, Pudu, Subang Jaya, USJ 1, USJ 7 dan Subang Hi-Tech.
Katanya, syarikat mensasarkan untuk memperluaskan kawasan liputan ke Petaling Jaya, Damansara, Klang dan beberapa bandar utama termasuk Johor Bahru dan Melaka menjelang akhir tahun ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar kementerian, Datuk Dr Mohd Padzil Hashim dan Pengerusi MCMC, Datuk Dr Halim Shafie.




