Oleh Afiq Hanif
mafiq@hmetro.com.my

KEMUNGKINAN kos melayari Internet lebih murah mampu diharapkan pengguna di negara ini apabila perkhidmatan jalur lebar Kebolehoperasian Seluruh Dunia bagi Akses Mikrogelombang (Wimax) diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1), Micheal Lai tidak menolak kemungkinan kos melayari Internet apabila perkhidmatan WiMAX disediakan akan lebih murah namun ia bergantung kepada situasi semasa.

Ketika ditanya persoalan kelewatan perkhidmatan WiMAX yang sepatutnya menemui pengguna awal Jun lalu, beliau memberi jaminan tiada sebarang masalah termasuk mengenai standard WiMAX itu sendiri.

“Tiada masalah walau satu pun,” katanya.

Perkhidmatan yang sepatutnya menemui pengguna awal Jun lalu kini ditunda tapi salah satu penerima lesen WiMAX itu menjanjikan beroperasi secara komersial di Lembah Klang pada suku ketiga tahun ini.

“Terdapat beberapa isu yang diperoleh ketika percubaan di beberapa tempat di Lembah Klang seperti Subang, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) Setapak dan Sentul tapi ia hanya memberi petunjuk kepada kami untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik,” kata Lai.

“Tempoh percubaan memberi cabaran kepada kami terutama untuk mengekalkan lebar jalur kepada pengguna agar mereka mendapat kemudahan itu secara konsisten,” katanya.

Menurutnya, jika WiMAX berjaya disediakan pada suku ketiga tahun ini, Malaysia mampu mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di luar Korea menggunakan perkhidmatan ini secara berskala besar untuk rangkaian 802.16e 2.3GHz.

“Kami menjalankan penilaian dan ujian pengguna dan memperoleh keputusan yang positif,” tambah Lai.

Kata Lai, syarikatnya bukan saja mahu menjadi organisasi pertama menampilkan WiMAX namun ia harus menjanjikan yang terbaik terutama kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Kami mengumumkan dua modem WiMAX berkonsepkan ‘plug n play’ bakal menemui pengguna tidak lama lagi dengan reka bentuk ringkas yang memudahkan pengguna,” ujar Lai.

Aplikasi yang dilihat mampu mendapat manfaat melalui teknologi WiMAX termasuk kamera pengawasan, sidang video, suara dan sambungan internet.